Monday, January 21, 2013

jiran : wanita tua itu ..




pertengahan tahun lalu, ada penyewa baru dikabarkan akan menduduki di sebelah rumahku.  jiran kali ini adalah lelaki berkeluarga.  hampir 2 bulan rumah itu kosong setelah penyewa yang terdahulu keluar.  sebelum ini rumah itu selalu disewakan kepada pelajar-pelajar kolej Tunku Abdul Rahman yang berdekatan dengan rumahku.

jiran baru ini berketurunan tionghua.  bagus juga! getus hatiku, jiran sebelah kanan rumah pula berbangsa india.  baru betul-betul 1Malaysia, kan?.

hari berganti hari.  kemudian suatu hari, aku perasan yang rumah sebelah seakan-akan sunyi kembali.  kuperhatikan pintu dan tingkap rumah itu bertutup rapat dan tidak kedengaran langsung suara kanak-kanak (anak jiran baru itu) seperti selalu.  ku ajukan pada suami, beliau pun merasakan yang sama.  kemudian suamiku mendapat info, jiran baru kami masih lagi menghuni rumah itu, tapi cuma yang tinggal ibunya sahaja.  pasangan suami-isteri itu dan anak-anaknya tinggal di rumah lain.

dua - tiga hari sekali anak perempuan wanita tua itu akan datang menjenguk ibunya, membawa bungkusan. makanan barangkali.

sesekali, waktu aku keluar rumah untuk ke pasar, terserempak dengan wanita tua itu sedang mencuci/mengelap gate rumahnya (aku tidak pasti apa tujuan dia mengelap gate tersebut), atau kadang-kadang melihat beliau terbongkok-bongkok mengelap lantai porch dengan hanya menggunakan kain buruk.  menurut suamiku, itu adalah rutin wanita tua itu.  maklumlah, suamiku selalu keluar-masuk rumah, kadang-kadang ke kedai, kadang-kadang cuci kereta.  jadi beliau perasan apa yang berlaku disekeliling rumah jiran.

pernah sekali aku berpeluang bercakap dengan wanita tua itu.  "Ah Soh apa kabar?, sudah makan?.."   beliau tidak menjawab, hanya membalas dengan senyuman nipis kemudian meneruskan kerjanya.

suatu pagi, aku terdengar suara orang memanggil-manggil dengan kuat dari luar.  aku menjengah ke pintu gelangsar, dan ternampak anak perempuan wanita tua itu datang.  lama dia memanggil-manggil ibunya, namun tiada jawaban.  setelah beberapa minit berlalu, ibunya masih tidak menyahut maupun membuka pintu, aku terdengar pintu gate digegarkan, makin lama makin kuat.  anak perempuannya terpaksa berbuat demikian untuk menarik perhatian ibunya yang mungkin tidak dengar dari dalam rumah.  tidak lama kemudian, aku terdengar suara yang agak kuat seperti orang bergaduh.  mungkin anak perempuan wanita tua itu memarahi ibunya kerana lambat membuka pintu.

aku cuma terpikir-pikir - kenapalah menyewa rumah sebesar itu, dengan membayar sewa seribu ringgit sebulan, kemudian meninggalkan ibumu seorang diri?  seandainya tiba-tiba berlaku musibah yang tidak diingini?  2-3 hari kemudian, bila datang menjenguk ibu tuamu itu sudah membujur kaku?  dan apalah salahnya di duplicate kan satu set lagi kunci rumah itu untuk simpanan sendiri, supaya bila-bila boleh masuk rumah tersebut seandainya betul-betul perkara tidak diingini berlaku pada ibumu.

aku bukanlah nak menyibuk jaga tepi kain orang.  Islam itu sendiri mendidik kita supaya mengambil berat sesama jiran kerana mereka adalah yang paling hampir dengan kita untuk memberi dan memohon pertolongan.  Islam juga menuntut kita menjaga hubungan baik sesama jiran tidak kira keturunan dan agama kerana ia adalah salah satu daripada cara hidup Islam.  tuntutan supaya menjalinkan hubungan baik sesama jiran ini diperjelaskan di dalam firman Allah سبحانه و تعالى yang bermaksud :



"..  dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki." - (Surah An-Nisaa' : 36)




*


4 orang bersuara:

lupekanje said...

emak accik tinggal sorang kat rumah kampung. Memang risau lah. Sehingga mana dia larat nak duk sorang.

uji6june said...
This comment has been removed by the author.
uji6june said...

risau kan Cik ..

saya dah lalui itu semua
masa arwah abah ada dulu.

selepas dipujuk macam2
baru arwah setuju

isnin - jumaat dirumah kakak
jumaat malam sampai isnin pagi
di rumah saya.

macam tu lah gilirannya
sampai akhir hayat arwah..

nasib baik rumah kakak saya
dekat keramat je waktu tu..



*

uji6june said...

giliran sebegitu
sebabnya, saya bekerja waktu tu..



*